Saturday, November 7, 2009

Konsep Satu Malaysia Diperjelas Ke Akar Umbi, Kata Rais


KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Konsep 1Malaysia yang meletakkan kepentingan keharmonian tidak mengira pegangan agama, kaum dan politik akan diperjelaskan kepada masyarakat akar umbi untuk dijadikan amalan dalam pelbagai segmen dalam kehidupan seharian, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

Beliau berkata kementeriannya akan menggunakan agensi dan jabatan di dalam kementerian itu dengan mewujudkan program dalam pelbagai corak yang membabitkan masyarakat kampung, bandar, profesional, perkhidmatan awam dan lain-lain.

"Setiap segmen (dalam masyarakat) harus menyumbangkan untuk menjayakan 1Malaysia. Ia termasuk kepentingan Sabah, Sarawak, generasi muda dan apa yang diutamakan oleh generasi lama menerusi kepentingan dan perkhidmatan awam.

"Perdana Menteri tidak menyatakan satu syllabus atau sukatan sebab konsep 1Malaysia ini ialah hanya ke arah keharmonian bersama tak kira pegangan agama, politik dan mengutamakan negara dan dengan produktiviti sebagai negara membangun yang setakat ini memperoleh markah tinggi dari pandangan dunia luar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementerian berkenaan di Laman Budaya Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Beliau berkata untuk menjayakannya lima jabatan dalam Kementerian Penerangan, lima jabatan dalam Komunikasi dan 11 dalam Kebudayaan akan memberikan penerangan, hiburan dan menjuruskan pembabitan masyarakat dalam dasar utama negara.

Sementara itu dalam ucapan semasa perhimpunan itu Dr Rais berkata kakitangan perkhidmatan awam perlu berkhidmat dengan melaksanakan tugas dengan terbaik.

Katanya, dua setengah kementerian yang disatukan itu bermakna lebih ramai kakitangan yang terbabit dengan tanggungjawab yang lebih berat.

"Tumpuan kita ialah menerangkan kepada rakyat. Jika kita tidak mampu tidak ada afdalnya kementerian ini bergelar kementerian penerangan," katanya.

Beliau juga berpesan kepada kakitangan yang hadir supaya kementerian mencorakkan kehidupan masyarakat ke arah yang positif dalam keharmonian kaum.

Dr Rais juga mahu penggunaan Bahasa Malaysia diperhebatkan selain kakitangan lebih peka dengan apa yang dilapor dan ditulis di dalam media baru (internet).

SN193 - APAKAH PERANG SATU JENAYAH?

APAKAH PERANG SATU JENAYAH?

[SN193] Pada 29 Oktober lepas, satu ‘Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang’ telah dianjurkan oleh Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO) di Pusat Dagangan Dunia Putera. Inti pati kepada persidangan ini adalah untuk menjadikan perang sebagai satu jenayah. Pengerusi PGPO, Tun Dr. Mahathir dalam ucapannya melahirkan keyakinan bahawa dunia tidak akan dapat menyaksikan terwujudnya satu mahkamah yang bebas dalam masa terdekat, oleh itu PGPO telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan satu tribunal. Tribunal yang dinamakan ‘Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT)’ merupakan antara langkah pertama ke arah usaha menghapuskan perang dan menjadikan perang sebagai satu bentuk jenayah. Ia ditubuhkan kerana dunia sudah tidak boleh menunggu lebih lama untuk melihat kewujudan sebuah tribunal yang bersifat neutral. “'Tribunal yang ditubuhkan ini dianggotai oleh hakim yang tidak berpihak dan adil. Mereka bertindak berdasarkan undang-undang antarabangsa dan mengutamakan keadilan”, ujar Dr. Mahathir.